Thursday, July 3, 2014

Bangunan tertinggi di Malaysia akan dibina di atas bekas tanah milik Sultan Johor?


Nasional
Enam bulan selepas mengejutkan dunia hartanah negara dengan membeli 116 ekar tanah di Johor Bharu bernilai RM4.5 bilion daripada Sultan Johor, pemaju hartanah daripada China, R&F Properties Co Ltd tidak mengambil masa yang panjang untuk membangunkan tanah bernilai tinggi itu.
 
R&F Properties yang berpengkalan di Guangzhou dan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, merupakan salah sebuah pemaju hartanah terbesar di China.
 
Perancangan syarikat terbabit adalah untuk membangunkan tanah bekas milik Sultan Johor itu menjadi projek hartanah terunggul Johor,  digelar "Princess Cove" yang bakal muncul sebagai mercu tanda ikonik terbaru bandaraya selatan tanah air. 
 
Menurut sumber-sumber kepada Malaysia Gazette, projek hartanah "Princess Cove" di Tanjung Puteri itu bakal menampilkan dua buah bangunan pencakar langit, dengan salah satu daripadanya bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Malaysia, mengatasi Menara Berkembar Petronas.
 
"Bangunan pencakar langit yang bakal menempatkan ofis gred A bakal mempunyai ketinggian melebihi 550 meter dan akan menjadi mercu tanda ikonik terbaru bandar raya Johor Bharu, sebagaimana Menara Berkembar Petronas kepada Kuala Lumpur," kata sumber itu.
 
Sebuah lagi bangunan pencakar langit di projek hartanah "Princess Cove" itu pula akan menempatkan hotel lima bintang.
 
Kedua-dua bangunan pencakar langit itu katanya, terletak bersebelahan pintu masuk Tambak Johor dan berhadapan dengan kompleks Imigresen Singapura. 
 
"Ia (bangunan pencakar langit) itu seolah-olah sebagai mercu tanda ikonik yang akan menyambut kedatangan pengunjung ke Johor menerusi Tambak Johor," kata sumber itu lagi.
 
Selain bangunan pencakar langit yang akan menjadi mercu tanda terbaru Johor Bharu, fasa pertama projek "Princess Cove" itu akan meliputi pembinaan 3,000 kondominium mewah pelbagai saiz dan kompleks membeli-belah, yang dijangka siap 2017.
 
"Di dalam fasa pertama sahaja, akan ada 15 blok kondominium mewah menempatkan lebih 3,000 kondominium mewah yang harganya bakal mencecah jutaan ringgit," katanya sambil menambah, pembeli kondominium itu dijangka rakyat tempatan, Singapura, China dan negara luar termasuk daripada Amerika Syarikat dan Britain.
 
Lawatan Malaysia Gazette ke galeri jualan projek "Princess Cove" di Tanjung Puteri itu mendapati segala kemudahan termasuk rumah contoh telah bersedia untuk menerima pengunjung yang berminat untuk melabur bagi mendapatkannya.
 
Uniknya di galeri jualan itu adalah kesemua kakitangannya daripada pengawal keselamatan hinggalah ke tukang sapu, pembuka pintu, penjaga lanskap, pembancuh kopi, pelayan dan wakil-wakil jualan terdiri daripada warga tanah besar China. -- MALAYSIAGAZETTE
Lakaran artis wajah Princess Cove yang dikatakan bakal mempunyai bangunan tertinggi di Malaysia mengatasi Menara Berkembar Petronas.

 
 

Johor Bahru 'ditawan' pelabur hartanah China

Ekonomi
Jika dilihat dari aspek kepantasan syarikat-syarikat gergasi hartanah China membeli plot-plot tanah di Johor Bharu dan Iskandar Malaysia, besar kemungkinan lanskap bandaraya di selatan tanahair ini bakal menyerupai Shanghai dalam jangkamasa tidak terlalu lama daripada sekarang.
 
Kemungkinan Johor Bharu menjadi "Shanghai Asia Tenggara" sedikit demi sedikit semakin menjadi realiti berikutan kebanjiran syarikat-syarikat hartanah dari negara Tembok Besar China yang membelanjakan berbilion ringgit untuk membeli plot-plot tanah di bandaraya bersebelahan dengan Singapura itu.
 
Tidak dapat dinafikan, syarikat hartanah China yang memiliki kekuatan kewangan kini merupakan pemain paling utama dalam sektor hartanah di Johor Bahru dan Iskandar Malaysia, jauh meninggalkan pelabur-pelabur hartanah daripada negara lain.
 
Walaupun syarikat hartanah tempatan seperti Mah Sing, SP Setia dan lain-lain juga aktif, tetapi skala pelaburan dan projek hartanah mereka adalah jauh lebih kecil berbanding pelabur China itu.
 
Pelabur dari seberang Tambak Johor seperti Temasek dan Capitaland yang mempunyai projek hartanah di Johor Bahru serta Danga Bay juga tidak mampu bersaing dengan "selera besar" pelabur-pelabur China itu.
 
"Johor Bharu dan Iskandar Malaysia kini diibaratkan seperti sungai yang sedang mengalirkan modal-modal yang dilabur oleh syarikat hartanah China," menurut seorang pegawai di syarikat hartanah tempatan yang memiliki projek pembangunan komersial di Medini, Iskandar Malaysia kepada MalaysiaGazette.
 
Sememangnya, senarai syarikat hartanah China yang membuka pejabat di Johor Baharu dan Iskandar Malaysia semakin panjang kebelakangan ini dan melihatkan kepada perkembangan terkini, ia hanya akan bertambah panjang.
 
Terbaru, salah sebuah syarikat hartanah terbesar di China, Kumpulan Greenland yang berpengkalan di Shanghai mengumumkan ia semakin hampir untuk membeli plot-plot tanah di Danga Bay bagi projek hartanah bersepadunya.
 
Pengerusinya Zhang Yuliang berkata, syarikatnya akan membelanjakan RM3 bilion untuk memperolehi tanah di Danga Bay, menerusi perjanjian dengan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).
 
Jumaat lepas, beliau mengetuai delegasi Kumpulan Greenland untuk mengadakan perbincangan dengan IWH di Johor Bharu.
 
"Kita menjangkakan akan memeterai perjanjian dengan IWH tidak lama lagi," kata Zhang, dengan sumber mengatakan, Kumpulan Greenland dijangka membeli 60 hektar tanah di Danga Bay.
 
Kumpulan Greenland itu yang merupakan di antara syarikat hartanah milik negara terbesar di China turut  disenarai dikedudukan 359 di dalam Fortune Global 500.
 
Danga Bay yang terletak di Johor Bharu kini merupakan lokasi nombor satu bagi pelabur hartanah antarabangsa dan ia diakui sendiri oleh pengarah urusannya Tan Sri Lim Kang Ho yang berkata, Danga Bay kini merupakan "rumah" untuk projek-projek hartanah bernilai RM125 bilion.
 
Selain Greenland, syarikat gergasi hartanah ketujuh terbesar di China yang turut mempunyai projek hartanah bersepadu di Danga Bay adalah Country Garden Holdings Ltd.
 
Pada 2012, ia telah membelanjakan RM900 juta untuk membeli  tanah di Danga Bay bagi membangunkan projek hartanah bercampur yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM18 bilion.
 
Termasuk dalam pelan pembangunannya adalah pembinaan 9,000 unit pangsapuri mewah, yang sebaik sahaja dilancarkan pertengahan tahun lepas telah habis dijual, majoritinya kepada pembeli daripada tanah besar China itu sendiri.
 
Pada ketika ini, Country Garden yang disenaraikan di Bursa Hong Kong mempunyai kira-kira 100 projek hartanah yang sedang dilaksanakan di China, Hong Kong, Malaysia dan beberapa negara lain.
 
Sebuah lagi syarikat, Hao Yuan Investment yang dikuasai pemegang saham China turut melabur RM1.6 bilion untuk membeli enam plot tanah seluas 15 hektar di Danga Bay.
 
Ia juga bercadang untuk melancarkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar berbilion ringgit.
 
Disember tahun lepas, syarikat hartanah China Guangzhou R & F Properties Co Ltd yang turut disenaraikan di Bursa Hong Kong telah membayar RM4.5 bilion untuk membeli enam plot tanah di Johor Bharu daripada Sultan Johor.
 
Zhuoda Real Estate Group, juga diantara pemaju hartanah terbesar di China dengan aset RM25 bilion, telah melancarkan projek hartanah bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM2.5 bilion di Medini, Iskandar Malaysia. - MALAYSIAGAZETTE
 

Bakal pembeli rumah pertama bimbang tidak mampu miliki hartanah sendiri

Ekonomi
KUALA LUMPUR: Ramai bakal pembeli rumah pertama bimbang mereka tidak mampu memiliki hartanah sendiri akibat peningkatan harga yang melampau.
Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com Asia 2013 mendapati 77 peratus daripada 30,000 responden bimbang mengenai kemampuan mereka untuk membeli rumah.
Terdapat 10 peratus responden pula bimbang mengenai dasar pembiayaan perumahaan dan kadar faedah semasa.
Menurut kajian tersebut, kebanyakan responden berpendapat urusniaga pembelian hartanah dijangka lembap dalam tempoh enam bulan akan datang.
Bagaimanapun, 41 peratus responden merasakan keadaan ekonomi dan persekitaran politik semasa adalah kondusif untuk melakukan pelaburan hartanah.
Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat ramai golongan muda yang sedang mencari pelbagai peluang pelaburan termasuk hartanah dengan 29 peratus daripada responden berminat untuk membeli hartanah yang bernilai di Antara RM350,000 hingga RM500,000.
Kajian tersebut laksanakan di kesemua laman web rangkaian kumpulan iProperty di Malaysia, Hong Kong dan Singapura.