Oleh Mohamad Hamas di Johor Bahru - 02 Jul 2014 (1 day ago)
Enam
bulan selepas mengejutkan dunia hartanah negara dengan membeli 116 ekar
tanah di Johor Bharu bernilai RM4.5 bilion daripada Sultan Johor,
pemaju hartanah daripada China, R&F Properties Co Ltd tidak
mengambil masa yang panjang untuk membangunkan tanah bernilai tinggi
itu.
R&F Properties yang berpengkalan di Guangzhou dan disenaraikan
di Bursa Saham Hong Kong, merupakan salah sebuah pemaju hartanah
terbesar di China.
Perancangan syarikat terbabit adalah untuk membangunkan tanah bekas
milik Sultan Johor itu menjadi projek hartanah terunggul Johor,
digelar "Princess Cove" yang bakal muncul sebagai mercu tanda ikonik
terbaru bandaraya selatan tanah air.
Menurut sumber-sumber kepada Malaysia Gazette, projek
hartanah "Princess Cove" di Tanjung Puteri itu bakal menampilkan dua
buah bangunan pencakar langit, dengan salah satu daripadanya bakal
dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Malaysia, mengatasi Menara
Berkembar Petronas.
"Bangunan pencakar langit yang bakal menempatkan ofis gred A bakal
mempunyai ketinggian melebihi 550 meter dan akan menjadi mercu tanda
ikonik terbaru bandar raya Johor Bharu, sebagaimana Menara Berkembar
Petronas kepada Kuala Lumpur," kata sumber itu.
Sebuah lagi bangunan pencakar langit di projek hartanah "Princess Cove" itu pula akan menempatkan hotel lima bintang.
Kedua-dua bangunan pencakar langit itu katanya, terletak
bersebelahan pintu masuk Tambak Johor dan berhadapan dengan kompleks
Imigresen Singapura.
"Ia (bangunan pencakar langit) itu seolah-olah sebagai mercu tanda
ikonik yang akan menyambut kedatangan pengunjung ke Johor menerusi
Tambak Johor," kata sumber itu lagi.
Selain bangunan pencakar langit yang akan menjadi mercu tanda
terbaru Johor Bharu, fasa pertama projek "Princess Cove" itu akan
meliputi pembinaan 3,000 kondominium mewah pelbagai saiz dan kompleks
membeli-belah, yang dijangka siap 2017.
"Di dalam fasa pertama sahaja, akan ada 15 blok kondominium mewah
menempatkan lebih 3,000 kondominium mewah yang harganya bakal mencecah
jutaan ringgit," katanya sambil menambah, pembeli kondominium itu
dijangka rakyat tempatan, Singapura, China dan negara luar termasuk
daripada Amerika Syarikat dan Britain.
Lawatan Malaysia Gazette ke galeri jualan projek "Princess
Cove" di Tanjung Puteri itu mendapati segala kemudahan termasuk rumah
contoh telah bersedia untuk menerima pengunjung yang berminat untuk
melabur bagi mendapatkannya.
Uniknya di galeri jualan itu adalah kesemua kakitangannya daripada
pengawal keselamatan hinggalah ke tukang sapu, pembuka pintu, penjaga
lanskap, pembancuh kopi, pelayan dan wakil-wakil jualan terdiri daripada
warga tanah besar China. -- MALAYSIAGAZETTE

Johor Bahru 'ditawan' pelabur hartanah China
Ekonomi
Oleh Mohamad Hamas di Johor Bahru - 05 Mar 2014 (4 months ago)
Jika
dilihat dari aspek kepantasan syarikat-syarikat gergasi hartanah China
membeli plot-plot tanah di Johor Bharu dan Iskandar Malaysia, besar
kemungkinan lanskap bandaraya di selatan tanahair ini bakal menyerupai
Shanghai dalam jangkamasa tidak terlalu lama daripada sekarang.
Kemungkinan Johor Bharu menjadi "Shanghai Asia Tenggara" sedikit
demi sedikit semakin menjadi realiti berikutan kebanjiran
syarikat-syarikat hartanah dari negara Tembok Besar China yang
membelanjakan berbilion ringgit untuk membeli plot-plot tanah di
bandaraya bersebelahan dengan Singapura itu.
Tidak dapat dinafikan, syarikat hartanah China yang memiliki
kekuatan kewangan kini merupakan pemain paling utama dalam sektor
hartanah di Johor Bahru dan Iskandar Malaysia, jauh meninggalkan
pelabur-pelabur hartanah daripada negara lain.
Walaupun syarikat hartanah tempatan seperti Mah Sing, SP Setia dan
lain-lain juga aktif, tetapi skala pelaburan dan projek hartanah mereka
adalah jauh lebih kecil berbanding pelabur China itu.
Pelabur dari seberang Tambak Johor seperti Temasek dan Capitaland
yang mempunyai projek hartanah di Johor Bahru serta Danga Bay juga tidak
mampu bersaing dengan "selera besar" pelabur-pelabur China itu.
"Johor Bharu dan Iskandar Malaysia kini diibaratkan seperti sungai
yang sedang mengalirkan modal-modal yang dilabur oleh syarikat hartanah
China," menurut seorang pegawai di syarikat hartanah tempatan yang
memiliki projek pembangunan komersial di Medini, Iskandar Malaysia
kepada MalaysiaGazette.
Sememangnya, senarai syarikat hartanah China yang membuka pejabat
di Johor Baharu dan Iskandar Malaysia semakin panjang kebelakangan ini
dan melihatkan kepada perkembangan terkini, ia hanya akan bertambah
panjang.
Terbaru, salah sebuah syarikat hartanah terbesar di China, Kumpulan
Greenland yang berpengkalan di Shanghai mengumumkan ia semakin hampir
untuk membeli plot-plot tanah di Danga Bay bagi projek hartanah
bersepadunya.
Pengerusinya Zhang Yuliang berkata, syarikatnya akan membelanjakan
RM3 bilion untuk memperolehi tanah di Danga Bay, menerusi perjanjian
dengan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).
Jumaat lepas, beliau mengetuai delegasi Kumpulan Greenland untuk mengadakan perbincangan dengan IWH di Johor Bharu.
"Kita menjangkakan akan memeterai perjanjian dengan IWH tidak lama
lagi," kata Zhang, dengan sumber mengatakan, Kumpulan Greenland dijangka
membeli 60 hektar tanah di Danga Bay.
Kumpulan Greenland itu yang merupakan di antara syarikat hartanah
milik negara terbesar di China turut disenarai dikedudukan 359 di dalam
Fortune Global 500.
Danga Bay yang terletak di Johor Bharu kini merupakan lokasi nombor
satu bagi pelabur hartanah antarabangsa dan ia diakui sendiri oleh
pengarah urusannya Tan Sri Lim Kang Ho yang berkata, Danga Bay kini
merupakan "rumah" untuk projek-projek hartanah bernilai RM125 bilion.
Selain Greenland, syarikat gergasi hartanah ketujuh terbesar di
China yang turut mempunyai projek hartanah bersepadu di Danga Bay adalah
Country Garden Holdings Ltd.
Pada 2012, ia telah membelanjakan RM900 juta untuk membeli tanah
di Danga Bay bagi membangunkan projek hartanah bercampur yang mempunyai
nilai pembangunan kasar sebanyak RM18 bilion.
Termasuk dalam pelan pembangunannya adalah pembinaan 9,000 unit
pangsapuri mewah, yang sebaik sahaja dilancarkan pertengahan tahun lepas
telah habis dijual, majoritinya kepada pembeli daripada tanah besar
China itu sendiri.
Pada ketika ini, Country Garden yang disenaraikan di Bursa Hong
Kong mempunyai kira-kira 100 projek hartanah yang sedang dilaksanakan di
China, Hong Kong, Malaysia dan beberapa negara lain.
Sebuah lagi syarikat, Hao Yuan Investment yang dikuasai pemegang
saham China turut melabur RM1.6 bilion untuk membeli enam plot tanah
seluas 15 hektar di Danga Bay.
Ia juga bercadang untuk melancarkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar berbilion ringgit.
Disember tahun lepas, syarikat hartanah China Guangzhou R & F
Properties Co Ltd yang turut disenaraikan di Bursa Hong Kong telah
membayar RM4.5 bilion untuk membeli enam plot tanah di Johor Bharu
daripada Sultan Johor.
Zhuoda Real Estate Group, juga diantara pemaju hartanah terbesar di
China dengan aset RM25 bilion, telah melancarkan projek hartanah
bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM2.5 bilion di Medini,
Iskandar Malaysia. - MALAYSIAGAZETTE
Bakal pembeli rumah pertama bimbang tidak mampu miliki hartanah sendiri
Ekonomi
- 22 Aug 2013 (10 months ago)
KUALA
LUMPUR: Ramai bakal pembeli rumah pertama bimbang mereka tidak mampu
memiliki hartanah sendiri akibat peningkatan harga yang melampau.
Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com Asia 2013 mendapati 77 peratus daripada 30,000 responden bimbang mengenai kemampuan mereka untuk membeli rumah.
Terdapat 10 peratus responden pula bimbang mengenai dasar pembiayaan perumahaan dan kadar faedah semasa.
Menurut kajian tersebut, kebanyakan responden berpendapat urusniaga pembelian hartanah dijangka lembap dalam tempoh enam bulan akan datang.
Bagaimanapun, 41 peratus responden merasakan keadaan ekonomi dan persekitaran politik semasa adalah kondusif untuk melakukan pelaburan hartanah.
Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat ramai golongan muda yang sedang mencari pelbagai peluang pelaburan termasuk hartanah dengan 29 peratus daripada responden berminat untuk membeli hartanah yang bernilai di Antara RM350,000 hingga RM500,000.
Kajian tersebut laksanakan di kesemua laman web rangkaian kumpulan iProperty di Malaysia, Hong Kong dan Singapura.
Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com Asia 2013 mendapati 77 peratus daripada 30,000 responden bimbang mengenai kemampuan mereka untuk membeli rumah.
Terdapat 10 peratus responden pula bimbang mengenai dasar pembiayaan perumahaan dan kadar faedah semasa.
Menurut kajian tersebut, kebanyakan responden berpendapat urusniaga pembelian hartanah dijangka lembap dalam tempoh enam bulan akan datang.
Bagaimanapun, 41 peratus responden merasakan keadaan ekonomi dan persekitaran politik semasa adalah kondusif untuk melakukan pelaburan hartanah.
Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat ramai golongan muda yang sedang mencari pelbagai peluang pelaburan termasuk hartanah dengan 29 peratus daripada responden berminat untuk membeli hartanah yang bernilai di Antara RM350,000 hingga RM500,000.
Kajian tersebut laksanakan di kesemua laman web rangkaian kumpulan iProperty di Malaysia, Hong Kong dan Singapura.